TIADA CADANGAN SEDIAKAN ELAUN KHAS GURU LAKSANA PBS

 

7 November 2012

Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran (KPM) tidak bercadang menyediakan elaun khas kepada guru dalam melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi bagaimanapun berkata pihak kementerian mengambil maklum kesulitan yang dihadapi guru dalam mengakses Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara dalam talian.

Justeru, katanya KPM telah mengambil tindakan mengatasi masalah yang dihadapi guru dengan mengambil langkah interim iaitu menyediakan ‘hosting’ khas yang berasingan bagi SPPBS dan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).

“Proses migrasi hosting bagi sistem tersebut telah selesai dilaksanakan pada akhir September 2012 dan ia pada masa ini adalah stabil dan boleh diakses,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Bukit Gantang) mengenai pemberian elaun tambahan kepada guru yang perlu menyiapkan PBS.

Dr Puad menjelaskan PBS yang diperkenalkan di sekolah di bawah KPM merupakan satu transformasi sistem pentaksiran kebangsaan daripada berfokuskan peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik, rujukan standard, lebih fleksibel dan seimbang dengan mengambil kira beberapa perkara.

“Ini termasuk mengiktiraf pentaksiran berasaskan sekolah, mengurangkan tekanan terhadap peperiksaan berpusat, mewujudkan sistem pentaksiran yang membolehkan guru mentaksir semasa mengajar dan murid ditaksir semasa belajar dan mewujudkan satu pangkalan data perkembangan murid,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, PBS merupakan antara usaha bagi membangunkan modal insan yang berilmu, mempunyai kemahiran serta menghayati nilai murni agar menjadi kompetitif dan relevan dalam era globalisasi. – Bernama

Bahan drp:
 www.sinarharian.com.my
Rss Feed twitter facebook

Copyright © 2012 , All Rights Reserved

Designed by Electronic Cigarette Reviews, & Download Free Wp Themes, Free wordpress themes, Free wp themes

Penafian: wwww.cikgufizik.com adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yg disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yg diperolehi daripada blog ini.